Sabtu, 24 Julai 2010

Hikmah di Sebalik Kutip Getah



Pagi itu masih basah, sejuk dan sungguh enak jika aku menarik selimut. Namun aku dikejutkan dengan suara abah, “abang, jom pergi angkat getah”… Tanpa sepatah kata, aku mencari baju dan seluar yang biasa aku pakai ketika mengutip getah. Dalam pejam celik, aku mencari baju dan seluar itu dalam bilik. Berat sungguh nak aku melangkah. Payah sungguh rasanya nak memasukkan kaki ke dalam seluar, walhal sudah yang ke berapa kali aku memakai seluar yang sama, ya, seperti seluar-seluar lain dan tiada cara lain cara pemakaiannya. Cuma, vitamin ‘M’ aku agak kuat untuk mematahkan ‘antibodi’ aku untuk mengutip getah. Namun ku sarungkan jua seluar dan baju itu dan keluar dari bilik.


Aku gagahkan diri melangkah longlai ke pintu rumah, abah dah lama menunggu di dalam kereta. Lalu aku keluar memakai kasut getah. Aduh, sukar jua rasanya. Abah tetap sabar, tak pernah pun menyuruhku agar cepat sedikit, kerana mungkin dia tahu yang dia selalu mengajak aku mengutip getah last minute, ya, ketika aku sudah pun menarik selimut semula setelah subuh tertunai. Tapi aku tabahkan hati, kerana aku tahu abah mungkin ingin mengajarku supaya pantas bersedia apabila ada sesuatu berlaku, seolah-olah semboyan perang dibunyikan, dan aku terbangkit daripada tidur dan meluru ke medan jihad untuk bangsa, agama, dan tanahairku.


Cuma bezanya aku tidak membawa senjata ketika mengutip getah, Cuma abah yang terbiasa menyarung parang apabila membuat kerja-kerja di hutan ataupun menoreh getah. Kata mak, “bawalah parang tu, buat kerat-kerat pacat”, namun aku tak ambil cakna, aku tahu, pacat boleh dipicit dengan jari sahaja. Ketawa aku didalam hati. Namun maksud mak lain, bukan sahaja pacat ada dalam kebun getah tu, macam-macam ada, macam Astro..haha


Abah memandu kereta ke kebun getah, aku jadi co-pilotnya saja. Pemegang kereta sorong terjulur ke depan dari belakang, maklumlah, kereta sorong naik kancil, berjasa sungguh MAM. Setia melayan karenah tuannya. Kadang-kadang ia jadi 4WD, jadi pick- up mengangkut kayu api. Macam-macam MAM boleh jadi, MAM memang lasak. Itupun setelah Van abah tersadai.


Usianya pun sudah tua, banyak jasa juga, dah banyak kali JBM itu masuk Universiti, menyaksi pelbagai ragam pengguna jalan raya, berkongsi suka duka keluargaku, melihat karenah adik beradik bertekak sepanjang perjalanan, bercuti bersama keluarga, menolong orang yang memerlukan dan macam-macam lagi jasa JBM.


Namun kenangan itu cuma bermain di ruang memori sahaja, kerana semua adik- beradikku sudah mempunyai tanggungjawab sendiri dan memiliki kenderaan sendiri. Tiada lagi suara bertekak berebut tempat, ya lah, semua nak duduk tepi tingkap, siapa cepat dia dapat. Kadang-kadang kenangan lama itu membuat aku tersenyum sendiri dan kadang- kadang membuat aku menangis.



bersambung.....