Khamis, 21 Februari 2013

Kerna Cinta Kamu

Kerna cinta kamu,
Mataku mudah terlena,
Jiwaku tenang sahaja,
Tenteram tiada duka.


Kerna cinta kamu,
Bagai dipuput bayu,
Membuat hatiku sayu,
Tenang dan mendayu.

Kerna cinta kamu,
Dapat aku berkelana,
Hidupku tiada merana,
Membawaku ke sana.

Kerna cinta kamu,
Telah aku berjaya,
Tanpa kamu bertanya,
Tetap kamu percaya.

Kerna cinta kamu,
Senantiasa bersamaku,
Selamat bersama doamu,
Dalam setiap nafasmu.

Kamulah oh inspirasiku,
Penawar duka laraku,
Maafkanlah oh anakmu,
Pintaku oh ayah dan ibu.


TintaresaM
3.59 AM
27032012


Ahad, 3 Februari 2013

Mendung Ini


Mendung ini,

Membawa aku jauh,
Jauh dari masa ini,
Aku berlari bersama,
Kenangan yang mengalir.


Mengalir lalu ke pipi,
Hangat tak melecuhkan,
Rindu pada kenangan,
Kenangan nan jauh.


Perlu aku kembali,
Mengejar hujan bagai dulu,
Terhidu bauan tanah,
Ketika hujan mencecah bumi.


Tiada gelap tiada cerah,
Masih terpandang jauh,
Pada peristiwa semalam,
Yang tiba-tiba terpancar.


Dalam tak sedar,
Yang aku sedar,
Tiada yang sedar,
Belum lagi terjaga.

TintaresaM
120113
5:33 PM

Jumaat, 31 Ogos 2012

Merdeka


Kepada Tuhan kita berserah
Kurnia rahmat melimpah ruah
Menjaga kita akan maruah
Tiada kita mengaku kalah

Sejahtera hari hendaknya
Hari merdeka amat bermakna
Sejauh mana mengenal rupa
Jika hanya selalu alpa

Negara sebiru laut
Tempat datang tanpa bersahut
Adanya dulu tempat bertaut
Kini berbekas berganti parut

Bebayang di balik hari
Aman makmur segala negeri
Moga merdeka diri sendiri
Tunjang agama bangsa berdiri


Khamis, 14 Jun 2012

Coretan Lamunan

Saban hari waktu,
Melihat ia berdetik,
Masih lagi aku ini,
Dalam kemilau noda,

Coretan pada bait ini,
Lemah bagai kaki,
Kaki yang baru bertatih, 
Bertatih jatuh rebah.

Sungguh ia bergelodak,
Kadang sunyi sepi,
Berayun dalam lamunan,
Sehingga sebak telah berlalu.

Masihkah punya waktu,
Menanti saat depan nanti,
Adakah kental dalam diri,
Berdepan diri sendiri.

Ke garisan sana nanti,
Bersama sahabat yang lain,
Tersenyum bila terpandang,
Kelibat susuk noda ini.

Oh... pimpin lah daku,
Bersama mengharung denai,
Denai yang telah lama,
Lama sudah disusuri.

TintaresaM

Sabtu, 26 Mei 2012

Adalah sudah lama tidak menjengah ke ruangan nukilan ini. Mungkin juga aku sibuk atau sengaja menyibukkan diri ini. Banyak juga yang mendatang namun tiada mengalir tinta mengisi ruang yang tandus ini. Sengaja aku luangkan masa untuk mencoret sekata dua dalam ruangan ini agar nampak adanya ia hidup dan terus bergerak.


Atau banyak coretanku yang aku leraikan tandannya di ruangan dinding mukabuku ku dan ia terkadang ada yang berjangkit ke ruangan ini. Terlalu banyak yang bermain dalam fikian ini lantas coretannya bercampur aduk sehingga menjadi tunggang terbalik jika mengalir semuanya dalam tinta yang mungkin nanti akan tumpah menjadi perhatian mata orang yang sudi membaca.


Banyak lagi yang belum dicoretkan menjadi sebuah coretan jambangan naluri dan luahan hati dan mungkin suatu hari berirama dalam petikan bait-bait lagu mereka yang punya jiwa irama yang derianya sering berpetik, bertepuk, bertiup, atau tergerak lalu menjadi harmoni dan lebih bermakna atau menikam jiwanya yang menghayati mungkin kena dengan derianya.


Kena gaya pada turun naiknya perasaan dalam nukilan gurindam dan puisi yang beralun mungkin bersama emosi yang berdenyut-denyut bersama sayu tangisan, gumbira tawa, tempikan baran, damai senyum, atau apa saja alunan perasaan yang sedang mengusik naluri.



Selasa, 17 Januari 2012

SENANDUNG LAGU DUNIA

bersenandung lagu,
gemersik bak benua,
menari dalam irama,
yang mencari dunia.

lagu nan merdu,
siapa yang empunya,
dendang bagai bersama,
mengusik semua deria.

ungkapan nan sendu,
tekaan yang bertanya,
cubaan dalam terima,
tiada akan dipersia.

lelah aku terhidu,
yakin dalam percaya,
menjawab yang pertama,
harapku dapat bersedia.

6.33 PM
17012012

Jumaat, 16 Disember 2011

Tanah Warisan

mencari tanah warisan pusaka,
tiada patut aku terleka,
bicara daku kepada mereka,
adakah hidup hanya bersuka.

tanah itu biarkan subur,
agar umanah tiadanya gugur,
menyemai benih dalam bersyukur,
agar berjasa dalam bertempur.

mencari pada si tanah,
adalah sukar menanti payah,
telahan dek zamannya fitnah,
melihat hamba hanya berserah.

menanti aku merintis jalan,
mencari tanah dalam perhatian,
mungkinkah nanti berjasa amalan,
atau mungkin hanya telahan.

TintaResam
12.34 am
16.12.11