Sabtu, 16 Oktober 2010

Hikmah Di Sebalik Kutip Getah... bhg 2

“ Tersentak aku di sebalik hujung sebuah rindu. Pada diriku hanya sejengkal laungan azan pada bertemunya sebenarnya solat yang tiada kita di belakang bahkan di hadapan jua terbujur kaku.”

Abah keluar dari kereta, aku masih lagi mengelamun, melayan rasa mamai yang masih membelenggu, jasad, jiwa perasaan, dan segala-galanya! Nikmatnya tidur. Namun hidup perlu diteruskan jua. Aku membuka pintu kereta, mencapai pemegang kereta sorong. Creet… Creet… Creet… itulah bunyian yang acap kali terdengar dari dalam kasut getahku. Saki baki air hujan malam tadi masih lagi bertakung dalam kasut getahku. Jalan yang licin membuatkan aku kadang-kadang tergelincir, dan nyaris tersembam. Rupa-rupanya perjalanan maya yang sebenar ini amatlah licin jika dibandingkan dengan perjalan aku untuk pergi mengangkut getah ini. Serakah yang membelenggu diri mengajak diri ini tergelincir bersamanya. Oh, begitu hendaknya. Semoga Tuhan melindungi insan yang lemah tiada berdaya ini.

Belum sampai beberapa meter kaki ini melangkah, sudah ku rasakan longgar lututku ini. Masih, abah masih berjalan. Baru- baru ini, baru aku aku ketahui yang abah menanggung sakit yang tiada terkesan oleh mesin-mesin dan tanggapan moden seorang doktor. Sudah lama abah menanggung kesakitan tanpa pernah terkeluar dari mulutnya bahawa dia sangat sengsara. Sakitnya tidaklah kuat, tetapi kerap. Abah masih lagi kuat, berjalan lebih laju daripadaku, walaupun ku tahu lututnya sudah lemah. Kata orang yang mengubat abah,
“ benda ni dah lama dan lekat dalam badan, dah sebati..." sudah lama, memang sudah lama. Firasatku yang melihat hanya sekelumit dari dirinya yang menanggung.

Langkah terhenti di hadapan pokok belimbing di kebun tokki, tempat yang selalu abah meletakkan begnya. Abah membuka beg yang selalu dibawanya pergi menoreh. Dia mengeluarkan bekas ubat nyamuk dan menyalakan ubat nyamuk. Bekas ubat nyamuk yang abah beli untuk aku, ketinggalan di rumah. Abah menggelengkan kepala, lantas menghulurkan bekas ubat nyamuknya kepadaku. Padahal, nyamuk menghurung abah bagaikan kelulut menghurung sarangnya. Bagai istilah orang kampung,
‘berbulu’ nyamuk menghurung abah.


bersambung bila ada mood....