Khamis, 11 Mac 2010

Katanya : Masjid Lama Pulau Tawar
















Aku dan beberapa orang rakan datang menyinggah masjid lama ini. Sedih, begitulah hendaknya gambaran perasaanku tatkala menjengah ke dalam Masjid ini. Di dalamnya seakan menyimpan rahsia yang tiada bersuara. Daun terup bersepah di dalam masjid, seakan-akan peranannya sebagai tempat ibadat semakin pudar di dalam kabus kemodenan.

Telaga masjid ini juga menyimpan satu rahsia keramat yang juga tiada bersuara (tanyalah ceritanya pada orang yang tahu). Bagaimana sesuatu yang mustahil itu mungkin tidak mustahil pada mereka yang berserah pada-Nya.

Dan sesungguhnya senibinanya amatlah tersirat benar, tiada tersampai kata hanya pada mereka yang memahaminya. Lantas puisi ini aku coretkan dalam bayangan aku seolah aku berbicara dengan masjid ini (bukanlah aku mempunyai kuasa sakti untuk berbicara dengannya) adapun jua fikiranku aku gunakan untuk berfikir tentang perasaannya. Fikiranku penuh dengan fikiran yang bercampur baur dan tiada sempurnanya hanya menyampai apa yang aku mendapat untuk sesiapa sependapat.



Katanya,
Dulu dia mendengar keluh kesah,
Tangis tawa setiap pencinta,
Berkongsi jerih perih sebuah perjuangan,
Bertamu datang mencari tenang.

Katanya,
Kini dia jenuh melihat masa,
Menanti pencinta tak kunjung tiba,
Ingin dia berkongsi laba,
Menyerah diri pada Pencipta.

Katanya,
Ada juga berkunjung tiba,
Menjenguk laba mencari rupa,
Ada jua mencari cerita lama,
Tentang hebat yang tak dijaja.

Katanya,
Terbinanya penuh makna,
Tempat bersatu tua dan muda,
Padanya tersimpan satu rahsia,
Tersimpan lama bersama usia.

Katanya,
Jenuh melihat keringat perjuangan,
Menanti sinar bangkit semula,
Tak kalah dia pada usia,
Takdir Tuhan Maha Pencipta.

Katanya,
Pernah makmur namanya,
Pada nama seorang hamba,
Penuh keramat tak tergapai mata,
Bersemadi sudah tidak dilupa.

Katanya,
Tatkala sinar tetap bercahaya,
Tak dia mengalah pada usia,
Padanya tanda peradaban bangsa,
Terjulang tinggi bertunjang Agama.

Katanya,
Terima kasih daun keladi,
Yang datang berkunjung pergi,
Namun dia tetap setia,
Segala semua ditangan-Nya

Selasa, 9 Mac 2010

" ILHAM "



"Coretan ini terilham tatkala ku mendengar dan menghayati setiap bait kata di dalam lagu Nurnilam Sari nyanyian Wings & Search. Pada pengamatan aku yang amat kerdil dan (selalu sahaja banyak salah dan tiada selalu tepatnya) maka terpacullah dari benak kepalaku (yang bercampur -aduk dengan pelbagai fikiran) ini dengan kata-kata puisi ini. Tidak aku mahu memberitahu yang tersirat di sebalik lagu itu (dari pandangan mata fikiranku) kerna biarlah aku sendiri yang memahaminya.. namun kepada para pembaca, jangan memandang kulit tanpa menyentuh isinya, kerana kulitnya mungkin berduri namun isinya amat menyelerakan... selamat berpuisi..."




Dan ketika saat ketika waktu.

aku berteleku,
mencari sebuah makna ilham,
di kala aku asyik merenung jawaban.

Dan tatkala aku terpegun,
tersirat sejuta maksud,
di sebalik tirai ilham,
yang terjumpa pada kerdilnya insan,

Dan bilamana aku terkedu,
saat ku tersentak,
pada kekerdilan akal itu,
dapat menyampai yang tersirat.

Dan pada masa aku tersentuh,
dek keagungan Sang Pencipta,
hingga yang dicipta mampu berpesan,
namun tak terbanding Bahasa-Nya,

Ilham itu dari Empunya,
Pemilik Kasih dan Sayang,
kerdilnya sungguh manusia ini,
semua datang dari-Nya,
kembali jua kepada-Nya.

TintaresamaseratniT