Jumaat, 16 Disember 2011

Tanah Warisan

mencari tanah warisan pusaka,
tiada patut aku terleka,
bicara daku kepada mereka,
adakah hidup hanya bersuka.

tanah itu biarkan subur,
agar umanah tiadanya gugur,
menyemai benih dalam bersyukur,
agar berjasa dalam bertempur.

mencari pada si tanah,
adalah sukar menanti payah,
telahan dek zamannya fitnah,
melihat hamba hanya berserah.

menanti aku merintis jalan,
mencari tanah dalam perhatian,
mungkinkah nanti berjasa amalan,
atau mungkin hanya telahan.

TintaResam
12.34 am
16.12.11

Jumaat, 2 Disember 2011

JIKA DAKU JATUH CINTA

Jika kau tahu,
Ingin aku berbicara,
Kepada dirimu bersemuka,
Aku kamu sering bersua.

Dalam samar pandangan,
Aku melihatkan kamu,
Kalau kamu memandang daku,
Untuk segera aku berpaling.

Jauh benar rasa ini,
Andai saja kau fahami,
Telah ada aku ketahui,
Untung rugi dalam dirimu,
Hitung diri aku mengerti.

Corong hidup ini,
Indah jika berjumpa,
Nikmat sebenar hidup ini,
Titian dunia sabarkan hati,
Andai diri menjadi saksi.

Jumaat, 11 November 2011

Tirai Hari

unggas dah bersurai,
hari sudah melabuh tirai,
esok pagi ku tunggu murai,
kicau riang bak serunai.

hari ini sudah berlalu,
azam dulu bertalu-talu,
namun masih bagai dahulu,
melangkah bagai melulu.

hari ini sudah selesai,
syukur hari tiada badai,
tiada esok dapat diintai,
moga esok juga permai.

adakah esok bagai selalu,
jernih di hilir keruh di hulu,
adakah hadir tiada perlu,
kalau tiada minta dahulu.

Ahad, 30 Oktober 2011

JODOH

Ingin mencari sesuatu,
Namun belum bertemu,
Nanti jumpa satu,
Seribu datang bertamu.

Siar sudah tentu,
Datang sang tetamu,
Bila terbuka pintu,
Rindu nak bertemu.

Dalam fikiran buntu,
Jalan ku ketemu,
Biar hilang sertu,
Kamu aku aku kamu.

TintaResam
30102011
1740

Khamis, 26 Mei 2011

Perasaan Ini

Perasaan ini,
Mungkinkah ia kurnia,
Berdosakah aku andainya,
Biarkan ia sia-sia.

Perasaan ini,

Mungkinkah ia hadir,
Rugikah andai takdir,
Amalan tiadaku lampir.

Perasaan ini,
Mungkinkah ia tercipta,
Bodohkah jika semata,
Tiadaku timbang rata-rata.

Perasaan ini,
Mungkinkah ia direka,
Untunglah mungkin jika,
Membuang Nafsu yang meneka.

Perasaan ini sedang bersaka,
Hati ini sedang berpuaka,
Jika benar penyambung pusaka,
Akan ku tunggu saat dan tika.


tintaresam

25052011
1234

Isnin, 4 April 2011

Dalam Pandang

berkenan bukan terkenan,
berlembut dalam santunan,
berkenan pada perasaan,
melirik pada senyuman.

mata yang bak bersinar,
siapa yang hendak melakar,
hamba yang rasa tertampar,
dunia yang bagai berputar.

secarik sejauh bak selembar,
sebidang dekat tak terbiar,
sekuak hamba tak terpusar,
sepandang hamba yang berpinar.

Jumaat, 4 Februari 2011

Persis

Persis bayang- bayang ilusi,
Yang bermain di segenap naluri,
Bagai tiada arti tersembunyi,
Bagai mudah diberi arti.

Layarku rasakan terhenti,
Di sebuah pulau tiada penghuni,
Ku cari cahaya menembusi,
Bermain bayang-bayang sendiri.

Sunyiku tiada sendiri,
Temanku tiada ber-arti,
Tiada aku terus menanti,
Melain menunggu nanti.

Di ruang maya ini,
Ku berkongsi hati,
Pada yang mahu meng-arti,
Pada manis secebis puisi.


TintaResam

Selasa, 18 Januari 2011

Pokok Lemba


Sejenis tumbuhan berumpun yang gemar hidup di kawasan yang redup dan terlindung dari matahari. Buahnya mempunyai rasa manis sehinggakan apabila kita minum air atau makan apa saja selepas makan buahnya, semuanya terasa manis. Bahagian yang digunakan ialah akar dan buah.

Kegunaan 1. Bahagian akarnya berfungsi untuk: ~ Mengubati sakit ginjal, ~ Menguatkan fungsi seks ~ Menghilangkan sakit perut kerana kesejukan. ~ Mengubati sakit kepala ~ Mengubati ulser mulut >>akarnya direbus sehingga mendidih dan dibuat kumur2

2. ~Buah lemba yang manis boleh menggantikan gula bagi pengidap kencing manis. ~ Buah lemba yang manis dicampurkan dengan air dan diminum amat sesuai untuk meredakan demam. 3. Ia juga dikatakan boleh mengubati demam malaria 4. Mengubati batuk 5. Merawat bengkak 6. Melawaskan kencing 7. Sebagai ramuan ubat periuk bagi wanita. 8. Biji lemba yang berwarna hitam seperti biji selasih dicampurkan dengan sirap dapat menyejukkan badan 9. Daunnya yang kering boleh dipintal menjadi tali (sumber http://fazlisyam.com/2007/12/14/lemba-molineria-latifolia)


Ada satu cerita di Pahang di mana ada seorang Pegawai British sampai di Pahang. Orang kampung memberinya makan buah lemba. Apabila terasa haus, dia lantas meneguk air Sungai Pahang, ketika berperahu di Sungai Pahang. Dia sangat terkejut bila dia rasakan air Sungai Pahang itu manis. Padahal manis buah Lemba itu lekat di tekaknya, sehinggakan apabila kita minum air tawar, air itu akan terasa manis.

Saya pernah mencubanya, dan ternyata, memang betul. Persoalannya, sudah adakah kajian dibuat untuk menggantikan gula tebu kepada mungkin gula dari ekstrak buah lemba?